RENTAS DAERAH, NEGERI KETIKA WABAK UMPAMA TIDAK HORMAT RASULULLAH
RENTAS DAERAH, NEGERI KETIKA WABAK UMPAMA TIDAK HORMAT RASULULLAH
KUANTAN: Aktiviti rentas daerah dan negeri bukan sahaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, bahkan lebih teruk lagi, mereka boleh dikira sebagai menderhaka kepada saranan Nabi Muhammad SAW.
Larangan merentas kawasan ketika wabak tercetus sudah dinyatakan secara jelas melalui sabda Rasulullah kira-kira 1,400 tahun lalu dan masih relevan sehingga hari ini.
Perkara itu dijelaskan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman ketika ditanya mengenai antara punca peningkatan mendadak kes positif COVID-19 sejak awal bulan ini.
“Kita dilihat terlalu mementingkan SOP hingga mengabaikan perkara utama yang sudah diingatkan Rasulullah melalui sabdanya berkaitan kaedah paling penting jika mahu menghentikan penularan sesuatu wabak yang sedang berlaku.
“Tindakan kerajaan memperketatkan aktiviti merentas daerah dan negeri sepatutnya perlu dipatuhi dan diberi perhatian kerana inilah sebenarnya cara seperti disarankan Rasulullah.
“Masalahnya masih ada yang tidak patuh dan tindakan mereka inilah yang akhirnya mengakibatkan jumlah kes (positif) COVID-19 semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, hadis Rasulullah adalah garis panduan jelas yang perlu difahami dan dijadikan rujukan apabila situasi wabak berlaku di dalam negara dilihat sebagai ancaman dan sukar dikawal akibat kegagalan rakyat mematuhi SOP ditetapkan.
“Pematuhan ini sepatutnya bermula di peringkat mukim sebelum daerah dan negeri. Kalau di peringkat mukim sudah boleh dikawal (pergerakan), tidak ada masalah untuk memutuskan rantaian (wabak) COVID-19.
“Begitu juga dengan aktiviti di masjid atau surau, kalau ahli jawatankuasa (AJK) masjid boleh memastikan hanya ahli kariah mereka sahaja yang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu yang lain, tidak ada masalah untuk dibenarkan masjid itu dibuka.
“Apa yang menjadi isu sekarang ialah kaedah pemantauan yang boleh dilakukan oleh AJK masjid, mereka tidak dapat memastikan hanya ahli kariah sahaja yang datang dan kita bimbang ada orang luar (bukan ahli kariah) turut hadir, hingga boleh mencetuskan penularan wabak,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menguatkuasakan larangan merentas daerah dan negeri kerana ini adalah keputusan terbaik dalam usaha menamatkan penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Dalam hal ini, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya patuhi larangan (rentas daerah dan negeri) diumumkan kerajaan… kita perlu peka bahawa keputusan ini dibuat selepas mengambil pertimbangan sewajarnya dan menilai daripada pelbagai aspek.
“Rasulullah juga menghalang penduduk keluar dari kawasan wabak dan orang dari luar datang ke kawasan wabak… jika kita tidak patuh arahan ini, secara tidak langsung kita seolah-olah tidak mendengar dan tidak menghormati saranan Rasulullah dan boleh mengakibatkan kita berdosa, ” katanya.-SAHIH