TAK PASTI BILA BEKALAN AIR PULIH
Berita Nasional/Kehidupan
TAK PASTI BILA BEKALAN AIR PULIH
PUTRAJAYA: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dapat menjangkakan bila bekalan air di kawasan yang terjejas akan pulih seperti sedia kala.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar pencemaran di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.
“Dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi hanya boleh beroperasi sekiranya ukuran kadar bau (TON) di tahap sifar, namun sehingga jam 12.30 tengah hari ini, bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih berada di tahap sembilan TON dan LAR Bukit Tampoi pula lapan TON.
“Sungai Batang Benar yang terletak kira-kira 20 kilometer (KM) dari LRA Sungai Semenyih masih tercemar dan berada di tahap 18 TON. Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 274 kawasan.
“Gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji ini sudah dihenti tugas selama 20 jam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Berikutan itu, Suhaimi berkata pihaknya sudah menggerakkan 64 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.
“Terdapat 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat (PKS) dan 10 pili awam turut disediakan untuk kemudahan pengguna yang terjejas.
“Air Selangor menyarankan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air adalah diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di PKS yang disediakan. Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor,” katanya.