JANGAN SEBAR BERITA, GAMBAR PALSU- ISTANA NEGARA
Berita Nasional/Viral
JANGAN SEBAR BERITA, GAMBAR PALSU- ISTANA NEGARA
KUALA LUMPUR: Istana Negara memandang serius terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan institusinya untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata pihaknya sentiasa memantau dan memandang serius terhadap kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media yang menggunakan nama dan menyebarkan foto-foto baginda Yang di-Pertuan Agong serta Istana Negara melalui applikasi WhatsApp.
“Tindakan yang tidak bertanggungjawab sedemikian bukan saja mencemarkan kredibiliti baginda Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara, malah boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, katanya Istana Negara, jika mendapati perlu, tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dalam pada masa yang sama, Istana Negara menyarankan rakyat supaya tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.
“Istana Negara turut menyarankan supaya berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama untuk mengelakkan tindakan oleh pihak PDRM juga SKMM,” katanya.