GAGAL PAKAI GELANG MERAH JAMBU DAN PELITUP MUKA DIKOMPAUN
GAGAL PAKAI GELANG MERAH JAMBU DAN PELITUP MUKA DIKOMPAUN
KUALA LIPIS – Lelaki berusia 47 tahun dikompaun RM5,000 kerana sengaja menanggalkan gelang merah jambu dalam tempoh kuarantin di rumah serta dua lelaki yang gagal memakai pelitup muka turut dikenakan kompaun RM 1,500 oleh polis di Padang Tengku, Lipis, semalam.
Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, tindakan mengenakan kompaun kepada lelaki yang tidak memakai gelang merah jambu berikutan hasil pemeriksaan pasukan pemantau di rumahnya berdekatan pekan Padang Tengku.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan didapati tidak memakai gelang merah jambu malahan berada di luar pergi ke tempat lain tempoh kuarantin di rumah dan perlu memakai gelang itu seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada media di Ibupejabat Polis Daerah Lipis, semalam.
Katanya, manakala kompaun ke atas dua orang lelaki lagi berusia 21 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting di situ dan seorang penganggur berusia 24 tahun secara terang-terang tidak memakai pelitup muka ketika polis membuat pemeriksaan di sebuah premis gunting rambut di Jalan Lipis – Benta.
Keduanya dikenakan kompaun oleh polis masing-masing berjumlah RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis.
“Pihak polis akan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis, kediaman dan bank di semua lokasi termasuk penduduk yang masih dalam kuarantin di samping pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan pengimbas suhu, mencatat kehadiran di buku catatan termasuk penggunaan MySejahtera dan beberapa peraturan tertentu.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengenakan kompaun bagi membantu kerajaan mengawal dan mengurangkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat di bawah seksyen yang dikuatkuasakan sekarang,” katanya. –SAHIH.