PSG JUARA PIALA PERANCIS
PSG JUARA PIALA PERANCIS
PARIS: Paris Saint-Germain berpeluang meraih kejuaraan domestik berganda selepas memenangi Piala Perancis dengan menewaskan Monaco 2-0 pada final di Stade de France.
Jaringan Mauro Icardi dan Kylian Mbappe memastikan kejuaraan buat PSG yang akan mengharungi aksi terakhir Ligue 1 musim ini dengan peluang untuk memenangi gelaran liga ke-10 mereka.
Juara Perancis itu sudah memenangi Piala Perancis sebanyak enam kali sepanjang tujuh musim lalu dan tidak pernah terlepas aksi final sejak tahun 2015.
Ia juga trofi kedua dalam karier pengurusan Maurico Pochettino selepas dia memenangi Trofi Juara-Juara untuk PSG pada Januari.
“Kami bekerja setiap hari untuk mengalami perasaan, ganjaran dan pengiktirafan seperti ini.
“Ia adalah hasil kerja berpasukan, semua yang terbabit dengan kelab ini, dan penyokong-penyokong yang tidak dapat bersama kami, lapor AFP.
“Kami sentiasa memikirkan tentang peminat dan kejuaraan ini adalah untuk mereka juga,” kata Mbappe.