JAMBATAN GANTUNG ROSAK TERUK DITUTUP DI MENTAKAB
JAMBATAN GANTUNG ROSAK TERUK DITUTUP DI MENTAKAB
TEMERLOH: Kerajaan negeri Pahang akan bertindak segera membaiki beberapa jambatan gantung yang rosak di sekitar bandar Mentakab dan Temerloh yang merentangi Sungai Semantan serta menutup dua jambatan demi keselamatan dan kemudahan penduduk yang terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Kominiti Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, beliau telah diarahkan oleh Menteri Besar Pahang untuk meninjau isu jambatan yang tular di media sosial.
Katanya, sebenarnya tindakan kerajaan telah mula dilakukan untuk membaiki beberapa jambatan tersebut dan mengumpul maklumat daripada pejabat penghulu, pengerusi Jawankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) termasuk pejabat daerah sebelum berita ditularkan di media sosial.
“Pihak kerajaan negeri telah bertindak mengutus surat ke bawah Duli Tuanku Yang Di Pertuan Agong, kita hanya menunggu masa untuk mengkaji peruntukan dan akan membaiki segera demi keselamatan penduduk terbabit.
“Kita akui, memang ada jambatan yang perlu dibaiki , malah ada yang sudah rosak teruk dan perlu ditutup sejak berlaku banjir bulan Januari tahun ini serta sekali lagi dilanda banjir kilat,” katanya ketika meninjau jambatan gantung Kampung Mambang Berulang, dekat sini, semalam.
Katanya, terdapat enam jambatan yang berlu diambil perhatian dan dibaiki, Jambatan Kampung Dala berkeadaan baik, Jambatan Kg Kelubi yang diperbuat daripada kayu rosak teruk, manakala jambatan Kg Mambang Berulang, jambatan Kg Sungai Dingin merbahaya dan perlu ditutup.
“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat kerajaan negeri minggu ini untuk membincangkan peruntukan yang sewajarnya, ada jambatan seperti Kampung Dingin perlu ditutup kerana keadaan yang sangat uzur dan membimbangkan,
“Oleh itu penduduk di situ buat sementara waktu menggunakan Jambatan Kg Gantok yang dibuat daripada konkrit dan selamat digunakan atau menggunakan laluan Jalan Batu 3, Mentakab untuk ke bandar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Mambang Berulang, Hassan Basri Muin berkata, beliau berterima kasih kepada Datuk Sharkar dengan tindakan segera dan cakna dengan masalah yang dialami oleh penduduk di situ.
“Diharap kerajaan negeri membaiki jambatan itu dengan segera kerana laluan dengan menggunakan jambatan itu adalah paling dekat untuk ke bandar Mentakab terutama murid sekolah berulang alik.
“Jambatan ini mula rosak ketika dilanda banjir bulan Januari lalu dan banjir kilat baru-baru ini, kalau menggunakan jambatan Sungai Gantok atau jalan raya agak jauh untuk berurusan ke bandar Mentakab,”katanya.
Katanya, beliau merayu agar jambatan gantung Kg Mambang Berulang dibaiki dengan segera dengan pemasangan menggunakan bahan yang berkualti dan tahan lama.-SAHIH.