NURAIRIS ALAMI PENYAKIT NEPHROTIC SYNDROME
NURAIRIS ALAMI PENYAKIT NEPHROTIC SYNDROME
JERANTUT : Kanak—kanak berusia 3 tahun mengalami buah pinggang bocor berikutan masalah kencing tidak lawas seterusnya anggota badan, perut, mata dan kakinya membengkak dan menyukarkan dia bergerak lancar.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Faizah Mohamad Hamizam, 29 berkata, anaknya semasa lahir adalah normal tetapi ketika berusia setahun enam bulan setelah menjalani rawatan pertama, anaknya disahkan mengalami buah pinggang bocor berikutan masalah kencing tidak lawas serta anggota badan, mata dan kakinya bengkak.
“Saya dimaklumkan anak saya mengalami penyakit Nephrotic Syndrome, saya menerima ujian Allah apabila berdepan dengan risiko kesihatan Nurairis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang berusia tiga tahun, kini mengalami bengkak di keseluruhan anggota badan.
“Kali terakhir anaknya dimasukkan ke wad pada bulan April lalu dan hasil pemeriksaan doktor mengesan ada tanda penyakit lain dihadapi Nurairis Maisarah, iaitu bahagian hati, manakala ususnya semakin sempit,” katanya ketika tinjauan SAHIH di Perumahan Rancangan Tanah Pemuda (PRTP) Kampung Bukit Dinding, dekat sini hari ini. .
Katanya, keadaan kesihatan anaknya tidak berubah dan sebelum Hari Raya Aidilfitri, keseluruhan anggota badan anak ini membengkak dan lebih ketara lagi terutama di bahagian perut (buncit) dan matanya terus membengkak dan mengalami gangguan penglihatan.
“Anak saya sudah lima kali dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk menjalani rawatan dan rawatan susulan di hospital yang sama malahan ditempatkan di wad selama beberapa hari tetapi penyakitnya masih tidak berubah..
“Anak saya sedang menunggu rawatan susulan dan difahamkan doktor akan membuat pemeriksaan imbasan (Magnetic Resonance Imaging) sekali lagi pada 7 Jun ini untuk menentukan penyakit serta rawatan lanjutan untuk pembedahan di Hospital Selayang,” katanya.
Katanya, untuk menunggu rawatan bulan depan, dia risau melihat fizikal anaknya semakin membengkak dan kerap menangis serta cuma minum susu sahaja kerana tidak berselera makan.
Dia yang mempunyai empat orang anak berusia antara 3 hingga 13 tahun berkata, Nurairis sejak dua minggu ini langsung tidak mampu berdiri kerana perutnya terus membuncit.
Nor Faizah berkata, dia turut menanggung penyakit hipertiroid, walau begitu terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk menanggung keluarga dengan menjual ketupat dan kuih secara hantaran (COD) kerana suaminya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar, 36, mengalami penyakit kencing manis dan tidak mampu berdiri lama akibat lemah saraf sejak tiga tahun lalu.
Katanya, sekiranya pembedahan dilakukan nanti di Hospital Selayang, doktor ada memaklumkan akan membabitkan kos rawatan sebanyak RM5,000.
“Saya dan keluarga tidak mampu menyediakan sejumlah wang berkenaan kerana sebelum ini sudah banyak dibelanjakan untuk rawatan yang sama, iaitu berulang alik ke Temerloh termasuk penginapan di sana.
“Pendapatan jualan ketupat dan kuih secara COD sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu tidaklah seberapa, kadang-kadang tidak ada langsung permintaan pelanggan termasuk hari raya baru-baru ini,” katanya.
Katanya, sekarang ini mereka sekeluarga menumpang di rumah emaknya dan tidak tahu nasib pada masa akan datang. Namun, dia dan suami reda serta bersabar dengan ujian Allah.
Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Nor Faizah di talian 013-6958230 atau menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610541100001386.-SAHIH.