MB KEDAH JUAL KERETA BANTU PALESTIN
MB KEDAH JUAL KERETA BANTU PALESTIN
ALOR SETAR: Demi membantu penduduk Palestin yang sedang diserang rejim Zionis ketika ini, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sanggup menjual kereta Volvo XC60 3.0 cc AWD T6 (2010) untuk disalurkan kepada tabung kemanusiaan PAS Relief.
Muhammad Sanusi menerusi hantarannya di Facebook hari ini, berkata kereta itu ditawarkan dengan harga bidaan bermula RM55,000 selepas membeli kereta itu dengan harga RM60,000 pada 2018.
“Kereta ini saja yang sudah selesai hutang bank. Sayang sangat kepada kereta ini, tetapi sayang lagi kepada saudara kita di Palestin.
“Sejak beli, saya membuat pembaikan, tukar alat ganti yang kurang elok dengan yang baharu, sedikit demi sedikit sampai rasa macam bawa kereta baharu, tetapi tidaklah 100 peratus macam baharu.
“Pendek kata, keadaan kereta ini terbaik, tak ada apa-apa yang perlu diperbaiki lagi jika bertukar tangan dalam aspek enjin, gearbox, suspension, melainkan absober boot belakang yang lembut sikit. Saya belum sempat bawa pergi baiki,” katanya, lapor BH ONLINE.
Semalam media melaporkan, jumlah kematian akibat konflik Israel-Palestin sejak empat hari lalu, terus meningkat kepada lebih 100 orang dan rejim Zionis dikesan menambah operasi ketenteraan termasuk ke sempadan Semenanjung Gaza.
Sejak serangan yang berlaku pada Isnin lalu, sekurang-kurangnya 103 orang maut termasuk 27 kanak-kanak, manakala 580 lagi cedera dan ini disahkan Menteri Kesihatan Palestin di Gaza.
Muhammad Sanusi berkata, mereka yang berminat melakukan bidaan kereta itu boleh terus menghubunginya menerusi akaun Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, bidaan itu akan dibuka selama tiga hari dan pembida tertinggi akan dihubungi sebaik saja bidaan ditutup pada jam 3 petang Selasa ini.
“Pembida yang serius boleh menyertai bidaan ini dan mereka boleh membayar terus ke Akaun Maybank Tabung Kemanusiaan PAS Relief (564070614481 atau 564070612333),” katanya.