MOHON BAIKI JAMBATAN GANTUNG UZUR, ELAK TRAGEDI
MOHON BAIKI JAMBATAN GANTUNG UZUR, ELAK TRAGEDI
TEMERLOH: Jambatan gantung Sungai Semantan berdekatan bandar Mentakab yang digunakan oleh kira-kira 400 orang penduduk Kampung Kampung Lubuk Serdang dan Kampung Sungai Dingin yang sudah uzur dan boleh rebah ke dalam sungai bila-bila masa.
Penduduk Kampung Sungai Dingin, Mentakab, Nur Muhammad Alias, 21, berkata, jambatan gantung yang uzur itu dibina pada 1984 berikutan struktur permukaan lantai berlekuk, manakala penghadang besi bahagian tepi banyak yang tercabut dan terdedah kepada keselamatan penduduk di situ.
“Jambatan ini rosak ekoran banjir pada 6 Januari tahun ini dan selepas kejadian itu tidak dibaiki sehingga ini menjadi kerisauan penduduk kerana jambatan ini merupakan laluan utama keluar ke tempat kerja, pelajar ke sekolah dan berurusan ke bandar terdekat.
“Jambatan itu sebagai jalan pintas ke bandar bagi penduduk kerana lebih dekat berbanding menggunakan jalan raya ke bandar Mentakab dan Temerloh, ia juga sebagai jalan alternatif ketika jalan kampung berdekatan ditenggelami air ketika banjir,” katanya di Kampung Sungai Dingin, Mentakab semalam.
Katanya, pernah berlaku kemalangan melibatkan penunggang motosikal tumbang di atas jambatan tersebut, tetapi tidak mengalami kecederaan malahan insiden itu mengingatkan penduduk setempat seperti mana yang berlaku di Kampung Rekoh, Rompin bulan April lalu yang melibatkan nyawa.
“Saya berharap pihak berwajib segera membaik pulih jambatan ini supaya penduduk lebih selesa merentasi laluan ini serta jaminan keselamatan masing-masing,” katanya.
Penduduk Kampung Sungai Dingin, Mohamad Daud, 62, berkata, dia bimbang ketika merentasi jambatan itu ketika air Sungai Semantan naik selepas hujan dan arus deras ketika berlaku banjir.
“Dengan struktur permukaan yang berlekuk dan sesetengah laluan tiada penghadang tepi berkemungkinan berlaku kecelakaan sekali gus dibimbangi penunggang bermotosikal boleh jatuh ke dalam sungai yang dalam.
“Mahu tidak mahu, saya terpaksa merentasi jambatan ini setiap kali mahu ke bandar kerana laluan ini yang lebih dekat walaupun berdepan risiko keselamatan,” katanya.
Mohamad berharap, kerajaan segera membaik pulih kemudahan tersebut bagi mengelakkan sesuatu kejadian yang tidak dingin berlaku membabitkan nyawa penduduk.-SAHIH.