KONFLIK DAPAT DISELESAIKAN JIKA NEGARA ISLAM BERSATU-TUN M
KONFLIK DAPAT DISELESAIKAN JIKA NEGARA ISLAM BERSATU-TUN M
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, berkata satu penyelesaian boleh dicapai untuk konflik Arab-Israel melalui tindakan bersama oleh negara Islam dan mereka yang menyokong hak dan perjuangan rakyat Palestin.
Adalah penting bagi mereka yang menyokong rakyat Palestin untuk mempunyai strategi betul untuk mencapai penyelesaian itu, katanya dalam ucapan awam secara langsung melalui laman Facebooknya yang menarik perhatian pengguna Facebook di seluruh dunia.
“Berjuang semata-mata demi perjuangan atau hanya membalas dendam tidak akan membawa sebarang hasil,” katanya dalam ucapan berjudul ‘ Seruan Untuk Kemanusian dan Ummah Mengenai Isu Palestin dan Mengecam Kezaliman Israel.”
Dr Mahathir juga menzahirkan harapan agar dunia Arab dan rakyat Palestin duduk berbincang dan memikirkan strategi sesuai untuk berdepan dengan rejim Zionis itu.
“Saya harap dunia Islam bangkit kepada situasi semasa. Saya harap kita semua akan menderita sedikit terhadap aktiviti keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan menentang kemanusiaan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, adalah penting untuk mendapatkan pengiktirafan diplomatik dan meneroka alam diplomasi bagi menjelaskan kebenaran dalam perjuangan bahawa mangsa adalah rakyat Palestin dan bukan sebaliknya.
Katanya, dunia seolah-olah berfikir bahawa ia adalah rakyat Palestin yang menimbulkan provokasi terhadap Israel tetapi rejim Zionis mengambil keputusan untuk menceroboh dan menyerang ketika jemaah Palestin sedang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa, lapor Bernama.
“Orang yang bersolat bukan bahaya kepada sesiapa,” katanya.