SRI PAHANG LEGA TERLEPAS ZON PENYINGKIRAN
SRI PAHANG LEGA TERLEPAS ZON PENYINGKIRAN
KUANTAN: Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff teruja apabila pasukan itu tidak lagi berada di zon penyingkiran dalam saingan Liga Super sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk terus meningkat sebaik liga disambung semula pada Julai ini.
Pemain kelahiran Kuantan itu berkata kejayaan berkenaan hasil kerjasama pengurusan kelab, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan untuk meletakkan skuad Tok Gajah pada prestasi lebih mantap.
“Sudah semestinya saya dan rakan sepasukan gembira kerana Sri Pahang berjaya beralih kedudukan lebih baik selepas mengharungi 13 perlawanan. Berada di kedudukan kesembilan liga berbanding dua tangga tercorot sebelum ini amat melegakan kami.
“Ia berjaya menyuntik semangat kami untuk memastikan Sri Pahang mencatat keputusan membanggakan pada setiap perlawanan sebaik liga bersambung nanti. Justeru, tempoh rehat dua bulan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membentuk persefahaman dan keserasian terutama kehadiran empat import baharu,” katanya, lapor BH ONLINE.
Pun begitu Abdul Malik mengakui dirinya belum berada pada prestasi terbaik berikutan tahap kecergasan tidak mencapai 100 peratus kerana baru pulih daripada sakit.
“Saya harap tempoh rehat ini dapat meningkatkan tahap kecergasan dan membantu pasukan untuk memperbaiki kedudukan. Saya juga percaya kehadiran empat import iaitu Aung Kaung Mann, Manuel Hidalgo, Abubakar Yakubu dan Kenny Athiu menambah lagi kekuatan pasukan,” katanya yang menjaringkan satu gol setakat ini.