DUA BERANAK HILANG SELEPAS NAIK JET SKI
DUA BERANAK HILANG SELEPAS NAIK JET SKI
BACHOK: Lelaki berusia 37 tahun dan anaknya berusia empat tahun dikhuatiri hilang, selepas menaiki jet ski di sungai dekat Kampung Pengkalan Baru, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud, berkata curiga dengan kehilangan mereka, ahli keluarga mengambil keputusan mencari mangsa di sungai berkenaan.
Katanya ahli keluarga hanya menemui jet ski yang dinaiki mangsa di kawasan pokok nipah, manakala mangsa dan anaknya tiada di situ.
“Bimbang keselamatan mereka, ahli keluarga menghubungi pihak bomba dan kami ke lokasi untuk tujuan mencari dan menyelamat (SAR), lapor BH ONLINE.
“Kami belum dapat memutuskan sama ada mangsa dan anaknya lemas atau sebaliknya kerana tiada saksi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Yus Heary berkata, setakat ini operasi SAR disertai bomba balai Bachok, Pengkalan Kubor, Pengkalan Chepa dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).