SISTEM KESIHATAN MASIH KUAT
SISTEM KESIHATAN MASIH KUAT
KUALA LUMPUR: Meskipun kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) hampir penuh, sistem kesihatan negara belum lumpuh, sehingga perlu memilih pesakit kritikal yang harus ditempatkan di kemudahan itu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi status di Facebook memaklumkan sememangnya semua katil yang ada di hospital hampir penuh dan mencapai kapasiti maksimum.
“Pun begitu, sistem kesihatan di negara kita belum lagi sampai ke tahap perlu memilih siapa yang perlu berada di atas katil ICU untuk dirawat.
“Frontliners (petugas barisan hadapan) yang merawat pesakit pun tidak ke mana-mana. Mereka tetap ada di wad ICU untuk merawat pesakit yang kritikal ini.
“Demi menyelamatkan nyawa, semua ‘frontliners’ meneruskan tugas harian mereka seperti biasa pada ketika Hari Raya pertama dan kedua Aidilfitri ini,” menurut perkongsian terbabit.
Menerusi perkongsian itu juga, KKM memuat naik beberapa gambar keadaan katil di hospital bagi merawat pesakit COVID-19.
Menurut status terbabit, itu keadaan sebenar dalam wad ICU ketika ini yang memaparkan petugas barisan hadapan melawan virus maut berkenaan.
“Hari ini merekodkan 34 kematian akibat COVID-19. Gambar dari Hospital Kajang ini menunjukkan semua katil yang berada di Hospital Kajang sudah pun penuh.
“Begitu juga di Hospital Ampang, Selayang, Sungai Buloh dan hospital COVID-19 yang lain. Keadaan sudah sesak,” katanya.
Semua rakyat Malaysia diminta patuh kepada peraturan ditetapkan.
“Jaga diri, jaga keluarga kita. Jangan biarkan keluarga kita menjadi salah seorang yang berada di wad ICU ini.
“Sayangilah mereka, putuskan rantaian COVID-19,” katanya.