PKRC SUKPA DIAKTIFKAN SEMULA PETANG INI
PKRC SUKPA DIAKTIFKAN SEMULA PETANG INI
KUANTAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mengaktifkan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), dekat Indera Mahkota, di sini, lewat petang ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau berkata, pengoperasian semula PKRC SUKPA adalah bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.
“Sebelum ini kita mempunyai dua pusat kuarantin (PKRC) yang beroperasi di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan yang menempatkan 228 pesakit dan Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bukit Tinggi dengan kapasiti semasa berjumlah 119 pesakit.
“Kedua PKRC itu sudah hampir mencapai kapasiti maksimum dan mesyuarat pagi tadi memutuskan mengenai keperluan untuk membuka semula PKRC di SUKPA sebagai persediaan bagi menempatkan pesakit menjalani proses kuarantin,” katanya.
Che Adam berkata, pembukaan PKRC SUKPA itu juga adalah bagi memberi keselesaan kepada pesakit memandangkan kerajaan Pahang sudah menetapkan bahawa semua pusat kuarantin yang beroperasi perlu mengasingkan antara pesakit lelaki dan wanita bagi mengelakkan risiko lain yang tidak diingini.
Katanya, kerja mempersiapkan semua keperluan dan kelengkapan di PKRC SUKPA sudah dimulakan sejak pagi tadi dan dijangka bersedia menerima kemasukan pesakit lewat petang ini.
“Untuk kapasiti katil atau tempat bagi pusat kuarantin SUKPA, kita sediakan 250 tempat dan hanya pesakit lelaki sahaja dikuarantin di sini.
“Semua urusan lain termasuk penyediaan makanan dan keperluan lain untuk pesakit akan dilakukan semua agensi yang sudah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan Pahang berdasarkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Bencana negeri,” katanya.-SAHIH