VAKSIN SINOVAC SANGAT BERKESAN
VAKSIN SINOVAC SANGAT BERKESAN
JAKARTA: Vaksin Sinovac Biotech Ltd didapati menghapuskan COVID-19 dalam kalangan pekerja kesihatan di Indonesia.
Itu petunjuk memberangsangkan bagi negara membangun yang bergantung kepadanya walaupun menunjukkan prestasi jauh lebih buruk daripada vaksin barat dalam ujian klinikal.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, dalam temu bual semalam berkata, Indonesia mengesan 25, 374 pekerja kesihatan di Jakarta selama 28 hari selepas mereka menerima dos kedua dan mendapati vaksin itu melindungi 100 peratus daripada kematian dan 96 peratus daripada rawatan di hospital, tujuh hari selepas itu.
Pekerja berkenaan dikesan hingga akhir Februari.
Sadikin berkata, 94 peratus pekerja dilindungi daripada jangkitan, dan ia keputusan luar biasa, berbeza dengan ujian klinikal vaksin walaupun tidak dipastikan sama ada pekerja disaring secara seragam untuk mengesan pembawa asimtomatik.
“Kami melihat penurunan yang sangat drastik di hospital dan kematian dalam kalangan pekerja perubatan,” kata Sadikin.
Tidak diketahui apakah jenis strain suntikan Sinovac di Indonesia, tetapi negara itu belum mengalami wabak besar yang disebabkan oleh varian yang dibimbangi.
Sementara itu, hasil daripada ujian Fasa III terbesarnya di Brazil menunjukkan keberkesanan CoronaVac hanya melebihi 50 peratus, yang terendah di antara semua vaksin COVID-19 generasi pertama.
Dalam wawancara berasingan dengan Bloomberg pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Sinovac, Yin Weidong, mempertahankan perbezaan data klinikal vaksin, dan menyatakan terdapat bukti bahawa CoronaVac berkesan dengan lebih baik di dunia nyata.
Bagaimanapun, contoh dunia nyata juga menunjukkan bahawa kemampuan vaksin Sinovac untuk mengatasi wabak memerlukan sebilangan besar orang diberi suntikan, iaitu senario yang tidak dapat dicapai oleh negara membangun dengan infrastruktur kesihatan yang lemah dan akses terhad.
Dalam kajian pekerja kesihatan Indonesia, dan di bandar Serrana di Brazil yang berjumlah 45,000 orang, didapati penyakit serius dan kematian menunjukkan penurunan melalui kajian terhadap hampir 100 peratus orang yang divaksin sepenuhnya.
Sebaliknya, Chile menyaksikan wabak yang muncul kembali selepas lebih satu pertiga daripada populasi berjumlah 19 juta diberi suntikan, yang juga salah satu kadar terpantas di dunia, tetapi tidak cukup pantas untuk menghentikan penyebaran varian agresif yang melanda Amerika Latin.
Sementara itu, Yin berkata Sinovac belum mengetahui apakah vaksin tradisional keluarannya yang tidak aktif dapat menghentikan atau mengurangkan virus daripada dijangkiti, tetapi hakikatnya mencegah penyakit serius dan kematian adalah lebih penting,lapor BLOOMBERG