55 TERMASUK 14 KANAK-KANAK MAUT DALAM ‘PERANG’ ISRAEL-PALESTIN
55 TERMASUK 14 KANAK-KANAK MAUT DALAM ‘PERANG’ ISRAEL-PALESTIN
BAITULMAQDIS: Lebih 1,000 roket ditembak ke arah Israel oleh pejuang Palestin di Gaza sejak Isnin lalu, berikutan peningkatan ketegangan menyusuli rusuhan di Masjid Al-Aqsa Jumaat lalu.
Setakat jam 7 petang tadi, pertempuran terburuk dalam tujuh tahun lalu itu mengorbankan 48 penduduk Gaza termasuk 14 kanak-kanak manakala dua lagi penduduk Palestin dan lima warga Israel terbunuh di Tebing Barat.
Jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus, berkata jumlah korban itu selain ratusan lagi cedera akibat serangan roket bertubi-tubi oleh Hamas sejak Isnin lalu menyasarkan Baitulmaqdis.
Beliau mendakwa, 850 roket yang dilancarkan oleh pelbagai kumpulan bersenjata di Gaza mendarat di Israel atau dipintas oleh sistem pertahanan udara Iron Dome Israel manakala kira-kira 200 roket pula jatuh di dalam Gaza.
Operasi ketenteraan Israel di Gaza, yang dikenali ‘Penjaga Tembok’, melakukan ratusan serangan udara di kawasan semenanjung yang kini disekat.
Conricus menegaskan bahawa Israel hanya menyasarkan infrastruktur ketenteraan saja dan berusaha keras untuk meminimumkan kesan kepada orang awam.
Semalam, Israel merobohkan bangunan 12 tingkat berdekatan dengan laut di kota Gaza, yang dikenal pasti oleh Hamas sebagai bangunan kediaman.
Namun, Conricus mendakwa bangunan itu digunakan oleh Hamas untuk tujuan ketenteraan dan dengan demikian, memenuhi syarat sebagai sasaran ketenteraman, lapor AFP.
“Tentera mengambil pelbagai langkah termasuk membuat panggilan telefon untuk memberi amaran kepada orang di dalam bangunan itu mengenai serangan yang akan dilancarkan, sekali gus memastikan tidak ada orang awam terkorban,” katanya.