HIDUP ZAMAN COVID-19 SEPERTI ZAMAN PERANG – PM
HIDUP ZAMAN COVID-19 SEPERTI ZAMAN PERANG – PM
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan rakyat yang hidup di zaman pandemik COVID-19 seperti hidup di zaman perang yang mana mereka perlu melindungi diri setiap masa bagi menyelamatkan nyawa.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, perlindungan terbaik bagi berdepan zaman pandemik ini adalah perlu berada di rumah sendiri.
Beliau berkata, rakyat diminta untuk berkorban melawan pandemik COVID-19 dengan meningkatkan disiplin diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa.
“Jadi saya nak merayu kepada semua, duduklah di rumah. Tak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting.
“Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri, di sini hari ini.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, pihaknya yakin dengan disiplin kendiri diamalkan, rakyat mampu menewaskan gelombang ketiga COVID-19 yang dihadapi masa kini.
Selain itu katanya, bagi meningkatkan keberkesanan tindakan kesihatan awam dalam memerangi COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan ujian swab COVID-19 dan melaksanakan pengesanan kontak yang lebih meluas dalam tempoh PKP ini.
“Kita berjaya melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dalam gelombang pertama. Kita juga berjaya mengurangkan angka jangkitan COVID-19 dalam gelombang yang kedua, lapor BH ONLINE.
“Insya-Allah, dengan izin Allah disiplin kendiri kita melawan COVID-19, kita akan berjaya menewaskan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya.