JURURAWAT PEMBUNUH BERSIRI DIPENJARA SEUMUR HIDUP
JURURAWAT PEMBUNUH BERSIRI DIPENJARA SEUMUR HIDUP
WASHINGTON: Seorang jururawat Amerika Syarikat (AS) semalam, dipenjara seumur hidup bagi sabitan pembunuhan tujuh veteran tentera menggunakan dos insulin ketika berada di bawah jagaannya di sebuah hospital.
Hakim Thomas Kleeh dalam penghakimannya berkata, ‘tiada penjelasan dan tentunya tidak ada justifikasi’, ‘anda paling teruk, kamu adalah raksasa yang tidak disangka’.
Reta Mays, 46, mengaku bersalah membunuh tujuh orang dan cuba membunuh seorang lelaki Julai tahun lalu, mengelak perbicaraan dan siasatan penuh terhadap puluhan kematian mencurigakan.
Dia bagaimanapun tidak menjelaskan tindakannya, ketika prosiding dijalankan julung kalinya di hadapan waris mangsa semalam.
“Tiada apa dapat saya jelaskan kepada waris mangsa. Saya hanya ingin minta maaf atas tindakan saya,” katanya.
Peguamnya berkata, dia tidak berkemampuan ‘berfikir secara waras’ kerana masalah kesihatan mental, termasuk trauma berkaitan penempatan ke Iraq serta pekerjaannya sebagai jururawat malam di hospital veteran tentera Virginia Barat.
Mays mengaku memberi insulin kepada mangsa berusia 81 hingga 96 tahun, yang tidak memerlukannya, antara Julai 2017 hingga Jun 2018.
Hormon digunakan untuk merawat diabetes, berbahaya bagi orang tidak menghidap penyakit berkenaan kerana ia menurunkan kadar glukosa dalam darah dan boleh menyebabkan koma dan kematian.
Kematian pesakit awalnya kelihatan semula jadi, tetapi akhirnya doktor mengenal pasti puncanya.
Siasatan kemudian dibuka dan beberapa mangsa didedahkan menerusi bedah siasat.
Isteri salah seorang mangsa memberitahu mahkamah mengenai kejutan dirasakan ketika melihat perkataan ‘pembunuhan’ tertulis dalam laporan pemeriksa perubatan.
Sementara itu, isteri mendiang George Shaw, Norma Shaw, dalam mesej yang dirakam, berkata tidak tahu punca tindakan Mays dan tidak menyangka akan tahu mengenai kejadian itu, selain ia menyedihkan.
Waris mangsa lain berkata, Mays ‘pembunuh bersiri’ atau ‘pengecut’, sambil menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak berwaspada, lapor AFP.
Jabatan Hal Ehwal Veteran yang mengendalikan hospital, membuka siasatan bagi menentukan liabiliti dan memuktamadkan 10 perjanjian penyelesaian dengan waris mangsa.