WANITA MALI LAHIRKAN BAYI KEMBAR SEMBILAN
WANITA MALI LAHIRKAN BAYI KEMBAR SEMBILAN
BAMAKO: Seorang wanita warga Mali mengejutkan dunia apabila melahirkan anak kembar sembilan di Maghribi semalam.
Menurut kerajaan Mali, walaupun Rabat masih belum mengesahkan kejadian yang sangat luar biasa itu, semua sembilan bayi tersebut berada dalam keadaan sihat.
Kerajaan Mali menghantar Halima Cisse, 25 tahun, seorang wanita dari utara negara Afrika Barat, ke Maghribi pada 30 Mac lalu untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik.
Pada mulanya dia dipercayai hamil kembar tujuh, kes wanita yang berjaya melahirkan kembar tujuh jarang berlaku, apatah lagi kembar sembilan yang lebih luar biasa.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Maghribi, Rachid Koudhari berkata dia tidak mengetahui kelahiran itu berlaku di salah satu hospital di negara ini.
Namun dalam satu kenyataan, kementerian kesihatan Mali berkata Cisse telah melahirkan lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki menerusi kaedah pembedahan.
“Ibu dan bayi berada dalam keadaan baik setakat ini,” kata Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby kepada AFP.