REMAJA 16 TAHUN ANTARA DIBERKAS DALAM OPERASI TAPIS KHAS
REMAJA 16 TAHUN ANTARA DIBERKAS DALAM OPERASI TAPIS KHAS
JERANTUT : Seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah antara sembilan orang suspek berbangsa Melayu dalam empat serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut di Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Lepar Utara dekat sini semalam.
Operasi Tapis Khas itu yang dilakukan bermula pada jam 11 malam, 2 Mei dan berakhir jam 8 pagi, 3 Mei itu, remaja berusia 16 tahun itu diberkas di Felda Tekam Utara dan menemui dadah jenis heroin seberat 161.2 gram dan syabu seberat 11 gram yang dianggarkan bernilai RM6,480 di belakang rumah suspek.
Bercakap kepada pemberita di IPD Jerantut hari ini, Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Suprintendan Azman Mat Khamis berkata, kes tangkapan remaja berkenaan amat unik kerana belum pernah dilakukan oleh polis sebelum ini, suspek tersebut itu turut positif dadah syabu dan aktif sebagai pengedar dadah di kawasan Felda itu sejak sebulan lalu.
“Penglibatan remaja ini sebagai pengedar serta penagih dadah memerlukan perhatian serius oleh semua pihak dan menunjukkan kegiatan tersebut semakin bermaharajalela di kawasan Felda daerah ini khususnya membabitkan golongan bawah usia.
“Penahanan remaja di bawah Akta ADB 1952 dan kemungkinan didakwa di bawah Akta Juvana memandangkan dia masih di bawah usia,” katanya di IPD Jerantut hari ini.
Katanya, polis juga menahan seorang seorang lelaki Melayu berusia 44 tahun di tepi jalan Felda Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara dan merampas 6.86 gram dadah syabu yang diperoleh dari Felda Tekam Utara, manakala hasil ujian urin suspek turut positif dadah berkenaan.
“Penahanan lelaki ini membawa tangkapan ke atas dua orang lelaki Melayu berusia 25 dan 46 tahun di Stesen Minyak Euro 5, Felda Tekam Utara dan menahan sebuah kereta jenis ATOS serta rampasan dadah syabu seberat 52 gram, heroin (39 gram), pil erimin 5 (10 gram) dan ganja 1.0 gram yang kesemuanya bernilai RM6,350.
“Ketiga lelaki berkenaan yang menjadi pengedar sejak 2020 ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 sekiranya sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori dan siasatan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah akta yang sama dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta Proton Saga milik seorang lelaki berkenaan dan merampas wang tunai berjumlah RM1,319 yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah termasuk hasil ujian urin mendapati ketiga-tiganya positif syabu.
Azman berkata, dalam Op Tapis Khas bertempat di Felda Lepar Utara polis juga berjaya menahan lima orang lelaki Melayu berusia antara 30 tahun hingga 62 tahun serta merampas dadah syabu seberat 0.13 gram, ganja (2.81 gram), daun ketum (1.63 kilogram), air ketum (23 liter) dan rokok seludup (32 kotak).
“Keseluruhan operasi empat serbuan di Felda tersebut, polis telah merampas dadah syabu seberat 70.13 gram, heroin (200.2 gram), ganja (3.81 gram), air ketum (23 liter) dan daun ketum (1.63 kilogram) yang dianggarkan bernilai RM26,107.
“Sejak bulan Januari hingga Disember 2020, kita telah menangkap seramai 517 pengedar dan penagih dadah melibatkan 640 kes pelbagai kesalahan di bawah ADB 1952 dan pada bulan Januari hingga April tahun ini, juga membabitkan tangkapan 199 orang dengan 223 kes,” katanya.
Selanjutnya, Azman berkata, polis akan terus membuat operasi berdasarkan maklumat diperoleh di daerah ini terutamanya kawasan Felda yang sudah lama menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah.-SAHIH.