KAPAL TERBAKAR, DUA MELECUR
KAPAL TERBAKAR, DUA MELECUR
GEORGETOWN : Dua kru melecur tahap dua pada badan apabila kapal membawa muatan diesel terbakar di Harbour Trade Centre, Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran kapal itu pada 4.02 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak, BBP Bagan Jermal dan BBP Bayan Baru dikejarkan ke lokasi.
Katanya, siasatan awal mendapati api dipercayai tercetus di bahagian pam yang digunakan bagi menyalurkan minyak ke kapal lain.
“Dua lelaki masing-masing terdiri warga tempatan berusia 30-an dan warga India berusia 50-an mengalami melecur pada badan, manakala dua lagi kru berjaya menyelamatkan diri.
“Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran dan kita sedang melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan kapal,” katanya ketika ditemui, di sini.
Katanya, kapal terbabit membawa muatan sebanyak 150,000 liter diesel dan pihaknya sedang mengenal pasti berapa lama keberadaan kapal itu di negeri ini, lapor HM online.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut,” katanya.
Video: Media sosial