IBU REDAH HUJAN HANTAR ANAK DAFTAR USM
IBU REDAH HUJAN HANTAR ANAK DAFTAR USM
Pengorbanan seorang ibu tidak terhenti hanya selepas melahirkan anak, tetapi selagi hayat di kandung badan, ibu tidak akan pernah berhenti untuk memberikan yang terbaik buat zuriatnya.
Baru-baru ini tuIar mengenai kisah seorang ibu, dikenali sebagai Jumiati Masud yang cekal menunggang motosikal dalam hujan lebat sejauh 30 kilometer (km) untuk menghantar anaknya mendaftar anak ke universiti.
Menerusi laporan Harian Metro, anaknya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, telah berjaya untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi sesi 2020/2021.
Dua beranak itu menaiki motorsikal dari Simpang Ampat, Seberang Perai menuju ke USM. Kecekalan ibunya antara yang menjadi perhatian di hari kedua pendaftaran penuntut baharu secara pandu lalu di universiti berkenaan.
Hasnan berkata, ibunya tetap berkeras menghantarnya meskipun dia boleh pergi menaiki bas, kerana ibunya tidak mahu melepaskan detik manis melihat sendiri anak berjaya masuk ke Universiti.
Difahamkan, Jumiati adalah peniaga kuih, namun ibu berusia 53 tahun menegaskan sanggup berkorban apa sahaja demi melihat anaknya berjaya.
“Biarlah dia di sini sahaja kerana penginapan pelajar lebih selesa dengan kemudahan rangkaian internet bagi memudahkannya belajar secara dalam talian…”
“Seorang ibu akan berkorban apa saja demi anaknya dan saya harap susah payah ini akan menjadi pembakar semangat kepada Muhammad Izzulhaq supaya belajar bersungguh-sungguh…”
Semoga Hasnan berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang anak yang mampu membalas jasa orang tua.
Sumber: Harian Metro dan Penang kini