TAK SEMPAT BAGI HADIAH UNTUK ISTERI, ANAK
TAK SEMPAT BAGI HADIAH UNTUK ISTERI, ANAK
PONTIAN: Hasrat seorang anggota bomba menyerahkan hadiah tudung kepada isteri dan topi keledar anak tunggalnya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Sanglang berdekatan Kampung Sanglang di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru itu, Anuar Abdullah, 33, yang menunggang motosikal Kawasaki Versys maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian mangsa yang tidak bertugas itu dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat selepas mengambil hadiah di tempat kerjanya untuk diberikan kepada isteri dan anaknya.
Bagaimanapun motosikal ditunggang Anuar dikatakan bertembung motosikal Honda Wave ditunggang Tey Ah Pin, 74, dari Kampung Parit Gantong, Ayer Baloi di sini, menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.
Isterinya, Rohayu Idris, 30, berkata suaminya sedang bercuti dua hari dan memberitahu ke balai tempat dia bertugas untuk mengambil beberapa barangan yang dibeli secara dalam talian.
“Arwah suami beriya-iya mahu mengambil barangan yang dibelinya di balai termasuk topi keledar untuk anak yang berusia empat tahun.
“Dia sudah lama berhasrat hendak membawa anak kesayangannya itu bersiar-siar di sekitar kampung menaiki motosikal dengan menggunakan topi keledar berkenaan.
“Lepas Subuh tadi arwah keluar dari Batu Pahat ke Pontian dan memaklumkan akan pulang jam 9 pagi.
“Namun selepas jam 9 pagi, saya mulai risau kerana panggilan telefon dibuat tidak diangkat sebelum adik saya ternampak gambar motosikalnya terbabit kemalangan di Facebook dengan penunggangnya disahkan maut,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Pontian di sini, lapor HM online.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat, petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah motosikal Kawasaki Versys berkenaan melanggar Honda Wave yang keluar dari lorong di tempat kejadian.
Katanya, akibat perlanggaran itu, kedua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.