LELAKI KETAWA VIRAL DARI SEPANYOL MENINGGAL DUNIA
LELAKI KETAWA VIRAL DARI SEPANYOL MENINGGAL DUNIA
SEVILLE, SEPANYOL – Pelawak dari Sepanyol, Juan Joya Borja, atau lebih dikenali sebagai ‘Spanish laughing guy’ meninggal dunia pada Rabu lepas akibat keadaan kesihatannya yang merosot secara tiba-tiba, lapor laman berita BBC semalam.
Borja menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti Virgen de Rocio, Seville, pada usia 65 tahun.
Dia yang turut dikenali sebagai ‘El Risitas’ yang bermaksud ketawa mengekek itu dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan pada tahun lepas.
Pada Mac lepas, para peminatnya menganjurkan kempen bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah skuter elektrik yang dihadiahkan kepadanya selepas salah satu kakinya dipotong.
Borja mula tular di internet pada tahun 2014, beberapa tahun selepas muncul dalam sebuah rancangan televisyen Sepanyol, di mana dia ditemubual oleh pengacara program tersebut yang bertanya mengenai pengalaman buruknya bekerja sebagai pembantu dapur.
Dia kemudiannya bercerita sambil mengeluarkan ketawa yang dianggap unik dan berjangkit sehinggakan sesiapa sahaja yang mendengarnya akan turut ketawa.
Antara meme popular yang menggunakan wajah ketawa Borja. – Know Your Meme
Klip video ketawanya yang dimuat naik di YouTube pada tahun 2007 itu kemudiannya dimuat naik semula oleh pengguna internet pada tahun 2014 sebagai parodi dengan meletakkan sari kata daripada babak filem Downfall.
Babak ketawanya itu dijadikan parodi dan meme dalam pelbagai bahasa untuk pelbagai tujuan, daripada kempen politik Mesir sehinggalah pengeluaran produk baharu Apple.
Versi-versi video parodi dan asli itu menerima jutaan tontonan, sekali gus menjadikan Borja sebagai ‘lelaki ketawa’ yang popular di seluruh dunia,lapor Agensi.