KANAK-KANAK LEMAS DI TALI AIR
KANAK-KANAK LEMAS DI TALI AIR
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di sebuah tali air di Kampung Jambu Merah, di sini, petang hari ini.
Mangsa yang berusia tiga tahun itu dipercayai terjatuh di parit utama di lokasi kejadian sekitar jam 4.30 petang, sebelum mayatnya ditemukan terapung di situ.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.32 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dan satu jentera ke lokasi kejadian dibantu anggota polis, kesihatan Klinik Kesihatan (KK) Melor dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Mangsa ditemukan pada 4.56 petang dalam keadaan terapung di tali air di lokasi terbabit.
“Anggota bertindak menggunakan tali menyelamat sebagai keselamatan untuk mengambil mangsa sebelum dinaikkan ke daratan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Fakaruddin berkata, selepas dinaikkan, anggota membuat bantuan awal kepada mangsa menggunakan kaedah bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan, lapor BH Online.
“Antara cabaran bomba adalah tali air berkenaan mempunyai cerun yang curam menyebabkan proses mengambil kanak-kanak itu berdepan sedikit kesukaran,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya 5.34 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.