HARGA REDS RM22.82 BILION
HARGA REDS RM22.82 BILION
LONDON: Ratusan penyokong Manchester United melakukan protes ke atas keluarga warga Amerika Syarikat, Glazer selepas mendapati pembabitan mereka dalam rancangan merosakkan bola sepak dengan penubuhan Liga Super Eropah (ESL).
Ia diikuti demonstrasi penyokong di Arsenal, Chelsea, Liverpool dan Tottenham yang berang dengan tindakan kelab masing-masing yang cuba menyertai liga francais berkenaan.
Ed Woodward sudah berhenti daripada United di tengah kemelut krisis ESL dan akhbar tempatan difahamkan beliau keluar kelab pada Isnin sebelum Chelsea dan Manchester City menarik diri daripada kejohanan berkenaan.
Namun, ini memerlukan sesuatu yang lebih daripada protes penyokong – yang menyaksikan penyokong Red Devils membakar bendera Amerika Syarikat – untuk menggesa adik beradik Glazer keluar dari Old Trafford.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Keluarga berpangkalan di Florida itu pernah memberitahu yang mereka hanya akan menjual United pada nilai 4 bilion pound (RM22.82 bilion) – jumlah yang mereka rasa berbaloi sekiranya ESL gagal.
Mereka hanya membayar 790 juta pound (RM4.5 bilion) untuk mendapatkan Red Devils pada 2005 dan sekiranya mereka mampu mencari pembeli dengan harga ditetapkan itu, mereka mungkin boleh mendapat keuntungan 400 peratus daripada pelaburan asas.
Di bawah kepimpinan mereka, hutang kelab masih kekal tinggi manakala adik beradik itu menerima jutaan ringgit menerusi dividen tahunan.
Penyokong United begitu berang dengan cadangan ESL berkenaan dan mereka menyerbu pusat latihan kelab di Carrington pada Khamis dan Ole Gunnar Solskjaer sendiri terpaksa mengawal keadaan, lapor Agensi.
Begitupun, pengendali itu menganggap pengerusi bersama Joel dan keluarganya tidak dapat ke mana-mana – meskipun setiap pemilik Big Six terpaksa berdepan pertempuran dengan penyokong semula.
“Saya fikir, pemilik yang menandatangani kertas cadangan itu mempunyai tugasan di bahu mereka, sudah tentu mereka miliki tanggungjawab itu.
“Kami menerima permohonan maaf daripada Joel dan itu adalah sesuatu yang penting. Dia memberitahu kami betapa beliau komited untuk membantu kami.
“Perpaduan dan semua pihak datang bersama-sama adalah salah satu sasaran utama untuk kita melangkah ke depan. Saya mempunyai hubungan terbuka dan baik dengan mereka dan mereka begitu menyokong saya,” katanya.