LORI PASIR REMPUH 3 KERETA
LORI PASIR REMPUH 3 KERETA
KUALA LUMPUR: Pemandu dan penumpang tiga kereta yang berhenti di lampu isyarat melalui detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah lori pasir yang hilang kawalan di Jalan Bukit Permai, Ampang dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari, lori membawa pasir seberat 22 tan itu dalam perjalanan dari Hulu Langat menghala ke Ampang dan dipercayai mengalami masalah brek apabila tiba di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pemandu lori gagal mengawal lori dipandunya dipercayai akibat brek tidak berfungsi semasa menuruni Bukit Permai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kenderaan berat itu kemudian merempuh tiga kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat Bukit Permai sebelum terbalik. Bagaimanapun, pemandu dan penumpang tiga kereta serta pemandu lori hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, saksi boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327, lapor BH Online.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.