PASAR RAYA SEDIA GEROBOK MAKANAN UNTUK ASNAF
PASAR RAYA SEDIA GEROBOK MAKANAN UNTUK ASNAF
KARAK: Sebuah pasar raya di Karak mengambil pendekatan untuk membantu insan yang sangat memerlukan bantuan barangan yang disediakan di rak yang diletakkan di luar pasar raya itu.
Rak Gerobok Makanan itu yang disediakan di luar pasar raya berkenaan bagi menempatkan beberapa barangan keperluan harian seperti tepung, garam, minyak masak, kicap dan susu termasuk beras yang boleh diambil secara percuma .
Tuan punya dan juga pengurus pasaraya itu, Farah Balqish Ahmad, 31, berkata, tujuan utama mengadakan Gerobok Makanan itu sebagai salah satu amal jariah dan sedekah kepada insan yang terkesan dengan kehidupan harian mereka.
Katanya, bermula pandemik Covid-19, ramai anggota masyarakat yang terkesan dengan tiada pekerjaan dan serba sedikit menjejaskan kehidupan seharian mereka terutama yang sudah berkeluarga.
“Dengan kesedaran itu, pasar raya ini serta dua cawangan lagi di FELDA Mempaga 3 dan Lanchang mengambil pendekatan yang sama dengan menyediakan Gerobok Makanan.
“Awalnya pihak pasar raya menyediakan barangan keperluan bernilai hampir RM1,000 dan kemudian hanya meletakkan tambahan barangan yang kurang dan dianggarkan RM300 sehari.
Katanya, konsep kongsi rezeki ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada bulan Januari tahun ini dan mendapat sambutan menggalakan daripada orang ramai termasuk pelanggan pasar raya ini.
“Terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO), pusat pengajian Al-Quran, guru sekolah di sekitar Bentong, Karak dan Lanchang menyumbang barangan di Gerobok ini untuk turut serta membantu masyarakat yang kurang mampu dan golongan asnaf.
“Malah ada pelanggan yang membeli barangan dan meletakkan sendiri di rak ini sebagai memupuk nilai murni dan semangat saling membantu di kalangan masyarakat dan memastikan barangan dan stok sumbangan sentiasa ada dan mencukupi, ”katanya.
Katanya, terdapat individu yang datang dan sangat terdesak, hanya memerlukan sedikit barangan sahaja dan mengambilnya, malah memulangkan semula barang yang diambil itu kemudian hari.
Pengunjung pasar raya yang sempat ditemui, Mohd Tarmizi Che Ku, 62, dari Karak berkata, Gerobok Makanan ini sudah banyak diadakan di masjid dan surau, tapi inilah pertama kali saya jumpai diadakan di sebuah pasar raya.
“Alhamdulillah, bagus demi membantu golongan susah dan asnaf untuk meneruskan kehidupan harian mereka selain penyertaan orang ramai yang bernasib baik turut menyumbang.
“Malah, ada juga kaum lain yang datang mengambil bantuan makanan di sini, moga usaha murni seperti ini mendapat berkat dan rezeki berterusan buat pihak pasar raya ini serta orang ramai yang menyumbang,” katanya.