PADAH SERAH NOMBOR TAC
Berita Jenayah
PENJAWAT AWAM RUGI RM20,000
KUANTAN: Seorang penjawat awam kerugian RM23,430 selepas menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada individu yang menyamar sebagai pegawai bank sebelum wang itu dipindahkan daripada tiga akaun milik mangsa, semalam.
Mangsa penipuan Macau Scam berusia 49 tahun itu menerima panggilan daripada individu terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa didakwa membuat transaksi sebelum dihubungi pegawai bank yang memaklumkan kad kredit miliknya mempunyai tunggakan sebanyak RM4,778.90.
“Mangsa kemudian menghubungi bank di talian yang diberikan dan bercakap dengan seorang lelaki dikenali dengan panggilan Mr Lee dan meminta mangsa menyerahkan butiran akaun bank untuk semakan.
“Ketika sedang bercakap, Mr Lee meminta menyerahkan TAC dan mangsa tanpa berfikir panjang terus berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat semakan secara dalam talian dan mendapati dua akaun miliknya berkurangan sebanyak RM18,430.
Katanya, sebanyak RM5,000 dikeluarkan daripada akaun kad kredit mangsa.
Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Temerloh petang semalam.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan modus operandi yang dilakukan suspek dengan menyamar sebagai pegawai bank.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber: Berita Harian