PENGAWAL PERIBADI TERTEMBAK RAKAN SENDIRI
PENGAWAL PERIBADI TERTEMBAK RAKAN SENDIRI
Parit Buntar: Tindakan seorang pengawal peribadi yang mahu menunjuk-nunjuk sepucuk pistol miliknya kepada tiga rakan mengundang tragedi apabila dia tertembak salah seorang rakannya semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata dalam kejadian sekitar 6.30 petang itu, lelaki berusia 33 tahun terbabit dikatakan sedang minum minuman keras di pinggir sungai di Jalan Swee Lee Kuala Kurau bersama mangsa berusia 23 tahun dan dua lagi rakan mereka masing-masing bekerja sebagai pemilik syarikat lori berusia 37 tahun dan penjaga stor berusia 48 tahun.
Menurutnya, sewaktu kejadian lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZ 75 dengan niat mahu menunjuk-nunjuk kepada rakannya.
“Ketika kejadian, lelaki itu sedang duduk di tembok batu manakala mangsa berdiri di hadapannya dengan jarak kira-kira 1satu meter.
“Bagaimanapun ketika mengeluarkan ‘magazine’ pistol itu, lelaki itu tidak menyedari masih ada sebutir peluru di dalam ‘chamber’ dan ketika menarik picu, pistol itu meletup dan terkena pada rakan yang berada di hadapannya.
“Mangsa mengalami pendarahan akibat terkena tembakan pada bahagian kiri perutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, cemas dengan kejadian itu, lelaki terbabit melepaskan satu lagi tembakan di dalam beg sandang miliknya dengan niat hendak mereka-reka cerita bahawa pistol itu meletup dengan sendirinya.
“Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Parit Buntar dan keadaannya dilaporkan stabil. Siasatan awal mendapati, suspek berkerja sebagai pengawal peribadi di sebuah syarikat keselamatan di Kuala Lumpur dan datang ke sini untuk upacara sembahyang kematian rakannya yang genap setahun.
“Susulan kejadian polis menahan tiga rakan mangsa dan merampas senjata yang digunakan bersama sebuah magazine berisi lapan butir peluru jenis 9mm, sebutir kelongsong tertera tulisan 9mm serta sarung pistol,” katanya, lapor HM online.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan semua tangkapan direman sehingga Jumaat.