AKTIVIS WANITA ARAB SAUDI TERIMA ANUGERAH EROPAH
AKTIVIS WANITA ARAB SAUDI TERIMA ANUGERAH EROPAH
STRASBOURG – Aktivis Arab Saudi, Loujain al-Hathloul pada Isnin menerima pengiktirafan atas perjuangan beliau menuntut hak wanita dan usaha menamatkan larangan memandu yang dikenakan ke atas golongan tersebut di negara itu.
Wanita terbabit dianugerahkan Hadiah Hak Asasi Manusia Vaclav Havel yang diberikan secara tahunan kepada individu yang berjuang untuk mempertahankan hak asasi manusia oleh Majlis Mesyuarat Parlimen Eropah (PACE).
Sayap Parlimen Majlis Eropah itu melihat Loujain sebagai salah seorang pemimpin gerakan wanita di Saudi yang berusaha melancarkan kempen untuk mereka.
Wanita berusia 31 tahun itu ditahan pada Mei 2018 bersama kira-kira 12 aktivis wanita lain beberapa minggu sebelum larangan memandu ke atas golongan tersebut ditarik balik oleh Riyadh.
GAMBAR HIASAN
Difahamkan, anugerah itu berserta wang tunai berjumlah 60,000 euro (RM297,312) diterima oleh kakaknya, Lina dalam satu acara yang diadakan secara maya, lapor Agensi.
Pada Disember lalu, sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lapan bulan ke atas Loujain, namun beliau dibebaskan lebih awal pada Februari lalu.
Beliau turut dilarang meninggalkan Saudi selama lima tahun dan gagal dalam rayuan untuk menarik balik sekatan dikenakan ke atasnya pada bulan lalu.