PROJEK ECRL BAKAL MEMACU EKONOMI DI MARAN
PROJEK ECRL BAKAL MEMACU EKONOMI DI MARAN
MARAN: Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan siap (fasa pertama) dan secara tidak langsung turut memberi tempias dan pemangkin kepada peningkatan ekonomi kepada penduduk di Maran.
Penduduk di sekitar daerah Maran boleh bersiap sedia merebut peluang khususnya perniagaan dengan jajaran ECRL, selain itu dapat menarik lebih ramai pelancong kerana Maran kaya dengan lokasi air terjun yang menarik selain Gunung Senyum yang sudah sinonim dengan pengemar sukan lasak.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berharap projek itu boleh membuah hasil yang lumayan kepada pemain industri pelancongan dan juga penginapan di daerah itu.
Katanya, sebanyak 61 projek yang dirancang bagi memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di daerah ini tidak dilaksanakan dan tertangguh sehingga tahun lalu dan berharap semua projek itu dapat diteruskan bagi tempoh Rancangan Fizikal Negara (RFN) Ke-Empat yang sedang berjalan ketika ini.
“Saya difahamkan antara punca projek ini tidak diteruskan atau tidak dilaksanakan ialah akibat iklim politik negara ketika itu dan juga selepas kajian susulan dilakukan pihak PLANMalaysia.
“Antara (projek) terlewat dilaksanakan ialah Hospital Maran, namun kerja tanah di tapak hospital itu sudah dimulakan dengan peruntukan sebanyak RM40 juta.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Townhall Perancangan Pembangunan Daerah Maran dan Program Malaysia Prihatin di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr Shamsaini Shamsuddin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Maran, Sharuddin Jali.
“Jadi, kita perlu mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk kawasan perniagaan baharu, sektor perindustrian dan juga kemudahan pendidikan seperti kolej komuniti.
“Saya juga berpandangan bahawa dalam masa dua atau tiga tahun lagi, kita (Maran) dapat memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh dinaik taraf sebagai sebuah Majlis Perbandaran dan ini juga boleh memberi nilai tambah kepada penduduk dalam meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.