RM50 UNTUK BARANG SAYA BELI DARI PENJAJA-TIMBALAN KM SARAWAK
RM50 UNTUK BARANG SAYA BELI DARI PENJAJA-TIMBALAN KM SARAWAK
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan mempertahankan dirinya susulan klip video menunjukkan beliau menyerahkan RM50 kepada penjaja tepi jalan ketika lawatan ke Matu, Sarawak, baru-baru ini, dengan mendakwa wang itu untuk membayar barang yang dibeli daripada mereka.
Dalam video selama 25 saat yang tular baru-baru ini, beliau dilihat menyerahkan wang kepada penjaja yang menjual makanan dan minuman, serta tidak memakai pelitup muka.
Borneo Post melaporkan Awang Tengah berkata, beliau dilihat tergesa-gesa dan meminta pegawai khasnya untuk mengambil barangnya.
“Saya beri wang itu kepada penjaja dan minta mereka bungkus barang saya.”
Ditanya sama ada beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan kerana tidak memakai pelitup muka, katanya, polis sudah menghubunginya.
“Saya sudah dihubungi polis yang memaklumkan saya akan terima kompaun. Saya mengakui kesilapan saya. Jika terima kompaun, saya akan bayar,” katanya dengan tidak mendedahkan jumlah kompaun yang dikenakan.