BANTUAN SEGERA UNTUK MANGSA KEBAKARAN
BANTUAN SEGERA UNTUK MANGSA KEBAKARAN
JERANTUT: Sebuah kediaman milik peneroka FELDA Jengka 1, dekat sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kejadian kebakaran lewat petang tadi.
Walaupun tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan, namun keluarga terbabit kehilangan banyak harta benda dan dokumen penting yang lain.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya dan juga jiran sudah menghulurkan bantuan awal dalam bentuk barangan keperluan asas, kepada keluarga malang itu.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud
“Insiden ini adalah kejadian luar jangka dan kita harap warga peneroka yang lain dapat bersama menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.
“Selain bantuan barangan keperluan asas dan sumbangan wang tunai, kita juga berharap warga peneroka dari 37 FELDA dalam Wilayah Jengka dapat bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa,” katanya.
Beliau memberi contoh mengenai insiden kebakaran rumah peneroka FELDA Jengka 8, sebelum ini yang menyaksikan hasil kesatuan hati warga peneroka, sumbangan diterima sangat membanggakan dan mencukupi untuk membina kediaman baharu kepada mangsa.
“Kalau boleh kita ambil semangat berkongsi rezeki dalam kalangan peneroka ketika memberikan bantuan kepada mangsa (kebakaran) di FELDA Jengka 8 dan diteruskan pula untuk membantu mangsa kebakaran di (FELDA) Jengka 1, petang tadi, ” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihak pengurusan FELDA Jengka 24 telah melancarkan tabung derma kebakaran dan hasil kutipan akan diserahkan kepada keluarga mangsa dalam masa terdekat.-SAHIH