ADUN SEBATIK SERTAI BERSATU
ADUN SEBATIK SERTAI BERSATU
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, hari ini, menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU.
Ia sekali gus menjawab teka-teki mengenai hala tuju politik beliau selepas mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk menjadi wakil rakyat bebas pada Februari lalu.
Hassan menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Hajiji kemudian menyerahkan borang berkenaan kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil disaksikan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Kedua BERSATU Sabah, di sini, malam ini, lapor BH ONLINE.
Pada 25 Februari lalu, Hassan mengumumkan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat nasional.
Hassan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September lalu atas tiket WARISAN.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata tindakannya meninggalkan WARISAN didorong kekecewaan dengan sikap pemimpinnya yang terlalu banyak berpolitik ketika rakyat berdepan kesusahan disebabkan pandemik COVID-19.