PASANGAN KEKASIH DITAHAN KES BUANG BAYI
PASANGAN KEKASIH DITAHAN KES BUANG BAYI
MELAKA: Pasangan kekasih berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes buang bayi lelaki mereka yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya di semak berhampiran kawasan kilang di Telok Mas di sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata remaja perempuan ditahan hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Melaka kerana pendarahan selepas melahirkan bayi tersebut manakala pasangannya ditahan di pekarangan hospital berkenaan pada jam 11 malam, Isnin, lapor Bernama.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek wanita tersebut melahirkan bayi berkenaan dalam keadaan masih hidup dan disambut teman lelakinya di rumah lelaki berkenaan di Taman Telok Mas di sini, kira-kira 12 tengah malam Ahad lalu.
“Lelaki berkenaan telah memasukkan bayi berkenaan ke dalam satu kotak plastik sebelum dibungkus dalam plastik hitam sebaik dilahirkan untuk dibuang di kawasan semak.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Bagaimanapun bayi itu kemudian telah diambil semula oleh suspek lelaki itu dan menyerahkannya kepada pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mayat bayi malang berkenaan akan dibedah siasat kira-kira jam 9 pagi esok bagi mengesan punca sebenar kematian.
Katanya, pasangan kekasih itu pula direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
“Polis Melaka sentiasa memandang serius kes jenayah terutamanya melibatkan kes buang bayi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah terbabit,” katanya.