MANGSA LEMAS TASIK KENYIR BARU SEMINGGU NIKAH
MANGSA LEMAS TASIK KENYIR BARU SEMINGGU NIKAH
HULU TERENGGANU – Ami Azzizol Abu Bakri,22, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir dekat sini semalam baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Syarifah Ramli,21, seminggu yang lalu.
Abang sulongnya, Amir Amizi,33, berkata, adik lelaki bongsunya bernikah dengan Syarifah di Pejabat Agama Islam Daerah Dungun pada 21 Mac lalu sebelum diraikan pada majlis sambut menantu pada hari yang sama.
Menurutnya, Ami Azzizol dan isteri bercuti ke Tasik Kenyir bagi meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga mentuanya yang menetap di Rasau, Dungun, semalam.
“Saya difahamkan mereka sampai di rumah rakit yang menjadi tempat penginapan pada pukul 1 tengah hari semalam sebelum dijadual pulang pada hari ini.
“Tahu-tahu saya dimaklumkan dengan kejadian lemas yang menimpa adik bongsu saya (Ami Azzizol) pada pukul 8 malam semalam,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini, lapor KOSMO online
Amir Amizi berkata, dia dan ahli keluarga termasuk ibunya, Zabidah A. Rahman, 62, bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 1 pagi tadi.
Ujarnya, mereka sekeluarga yang masih terkejut tentang insiden itu berharap agar jasad Ami Azzizol dapat ditemui segera.
“Kami juga menunaikan solat hajat bagi memudahkan operasi pencarian adik lelaki saya,” katanya.
Sebelum ini, Ami Azzizol dilaporkan lemas dipercayai akibat kekejangan otot ketika mandi di Tasik Kenyir berhampiran sebuah rumah rakit di Sungai Petuang.
Setakat ini operasi mencari dan menyelamat masih gagal menemui mangsa.