WARGA EMAS MAUT DALAM KEMALANGAN
WARGA EMAS MAUT DALAM KEMALANGAN
JERANTUT: Seorang warga emas, berusia 72 tahun maut di tempat kejadian dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 5, Jalan Jerantut-Temerloh, pada jam 8.26 pagi, hari ini.
Mangsa, Lahlin Zakaria, pesara jabatan pertanian yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Jerantut ke Temerloh, dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan untuk ke simpang Kampung Pisang sebelum kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, berlaku pertembungan antara motosikal mangsa dengan sebuah motokar Myvi dari arah Temerloh, setiba di tempat kejadian, kerosakan teruk di bahagian hadapan motokar, manakala motosikal terbabit turut remuk akibat perlanggaran.
“Semasa kejadian, keadaan jalan berturap, lurus satu lorong dua hala, mempunyai garisan putih putus – putus dan pembahagi jalan, dan di sebelah kiri menghala ke Jerantut terdapat simpang ke Kampung Pisang serta keadaan cuaca baik.
“Motokar Myvi dipandu oleh seorang pekebun sawit berusia 20 tahun, pemandu tersebut tidak mengalami kecederaan,”katanya.
Katanya, kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Jurucakap Jemaah Masjid Temin berkata mangsa telah bersolat subuh pagi ini di masjid itu.