195 PENAGIH DADAH DITAHAN DALAM OPS PERDANA 1
195 PENAGIH DADAH DITAHAN DALAM OPS PERDANA 1
KUANTAN: Seramai 195 suspek ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana 1 yang bermula Ahad lalu dan berakhir malam tadi.
Operasi serentak di 10 daerah di Pahang itu diketuai sendiri Pengarah AADK negeri, Zirwatul Ahlam Zamzam.
“Operasi siri pertama tahun ini memberi tumpuan kepada lokasi panas yang sudah dikenalpasti pihak AADK, antaranya di sekitar FELDA Keratong, Rompin; mukim Kuala Kuantan, Kuantan dan Kuala Pahang dan Pahang Tua di daerah Pekan.
“Daripada 195 suspek yang kita tahan, 168 daripadanya positif dadah pelbagai jenis dan kita turut menahan tiga wanita dalam operasi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Zirwatul Ahlam berkata, kes positif dikesan membabitkan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine sebanyak 134 kes dan 34 kes lagi membabitkan dadah jenis Opiat.
“Kita juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi selama lima hari itu dan antara dadah kita rampas ialah 91 biji pil kuda; 41.92 gram syabu dan heroin sebanyak 5.55 gram,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menyerahkan 20 suspek kepada pihak polis kerana mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lapan kes disenaraikan sebagai orang dikehendaki.
Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha AADK menjayakan sasaran dadah terkawal di Malaysia menjelang tahun 2025. – SAHIH.