SUSPEK TETAK RAKAN DITAHAN
SUSPEK TETAK RAKAN DITAHAN
KINABATANGAN: Lelaki yang menetak rakannya kerana suka membazir air akhirnya berjaya ditangkap dalam kawasan ladang sawit di Melangking, Sukau, semalam.
Suspek berjaya diberkas kira-kira 4 petang, ketika bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sebelum penahanan dilakukan, pihaknya menerima makluman pekerja ladang itu ada datang ke perumahan pekerja ladang untuk meminta makanan pada Ahad.
Menurutnya, susulan itu, usaha mengesan lelaki terbabit dipergiatkan ke kawasan seperti dilaporkan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
“Selepas menjalankan pengesanan, akhirnya suspek berjaya dikesan bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit di ladang terbabit.
“Ketika ditemui, lelaki itu tidak berpakaian dan masih lagi memegang sebilah senjata tajam yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa.
“Sebaik cuba ditangkap, suspek turut bertindak agresif. Namun berjaya ditahan dan senjata sepanjang 76 sentimeter berjaya dirampas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan kejadian pergaduhan dua rakan serumah susulan masalah bekalan air.
GAMBAR IHSAN PDRM
Mangsa, 30, dilaporkan suka membazir air sedangkan perumahan mereka mengalami masalah bekalan air.
Berlaku pertengkaran sehingga salah seorang terbunuh akibat dilibas dengan senjata tajam, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian 5.30, Sabtu lalu, mangsa dilibas dengan senjata tajam oleh suspek di bahagian perut hingga menyebabkan kecederaan parah sebelum meninggal dunia di Hospital Kinabatangan.