ENAM PEMANCING HILANG
ENAM PEMANCING HILANG
CHUKAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam pemancing termasuk tekong yang tidak pulang selepas keluar ke laut sejak Isnin lalu.
Pengarah APMM Terengganu, Muhammad Suffi Mohd Ramlie berkata mereka terdiri daripada Mohd Hafizol Hisham Zakaria, 29; Mohd Samerin Suhaimi, 29; Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19; Risidi Mohamad, 22; Mohamad Shahrul Ainmie, 19; dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20.
Beliau berkata, semua mereka sepatutnya pulang hari ini dan pihaknya percaya bot kelas A yang dinaiki pemancing itu rosak ketika berada di laut menyebabkan mereka tidak dapat dihubungi.
“Pihak APMM menerima laporan ahli keluarga mereka pada kira-kira jam 8.50 malam tadi dan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan mengaktifkan serta mengkoordinasikan operasi di laut pada jam 3.15 petang tadi dengan menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan serta pengesanan, lapor Bernama.
“Operasi turut dibantu oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Suffi menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sebarang aduan serta kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999.