BANJIR KILAT SEKITAR KUANTAN
BANJIR KILAT SEKITAR KUANTAN
KUANTAN: Hujan lebat berterusan di sini sejak semalam mengakibatkan beberapa laluan di Sungai Lembing, dekat sini, ditenggelami air.
Situasi ini membuatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah bimbang seandainya banjir besar kembali berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, walaupun banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sejak semalam semakin reda, keadaan cuaca masih tidak menentu.
“Kita mengambil langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat masih lagi berlaku hari ini.
“Penduduk di kawasan rendah sudah diberitahu supaya bersiap-siaga sekiranya rumah mereka dinaiki air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, beberapa bahagian jalan antara Kuantan dan Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan berikutan dinaiki air.
“Semalam ada rumah terjejas akibat banjir kilat, tapi sudah dibersihkan malam tadi,” katanya.
Md Sohaimi berkata, ketika ini, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Lembing sesang dalam proses untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir dan memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya keadaan semakin buruk.
GAMBAR IHSAN JBPM PAHANG
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, bomba membantu seorang wanita berpindah di Kampung Pandan 2, jam 5.30 pagi tadi.
“Bomba terpaksa menggunakan bot untuk membawa mangsa ke rumah keluarganya selepas rumah mangsa dinaiki air setinggi dua meter,” katanya-SAHIH