ALAM SEMULA JADI SUMBER INSPIRASI
ALAM SEMULA JADI SUMBER INSPIRASI
TERGURIS JIWANYA BILA BERLAKU KEMUSNAHAN DAN PENCEMARAN KEPADA ALAM
JERANTUT: Lukisan yang banyak memaparkan keindahan semula jadi di kawasan Taman Negara, Kuala Tahan dan kampung sekitar menjadikan sumber inspirasi kepada Alizan Alias, 39 tahun untuk menghasilkan lukisannya.
Penduduk jati Kampung Pagi itu, sudah banyak kali mengadakan pameran lukisannya secara solo di hotel-hotel di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam.
“Kira-kira 50 lukisan yang bersaiz besar sudah dihasilkan dan sudah banyak dijual dan berharga antara RM1,000 hingga RM5,000.
“Kebanyakan lukisan dibeli oleh pihak hotel untuk dijadikan hiasan di bilik hotel atau ruang tertentu, malah terdapat lukisan bersaiz 3 meter tinggi dan lebar 3.65 meter (10 kaki x 12 kaki) dijadikan lukisan mural di bandar Jerantut,” katanya.
Katanya, oleh kerana hidup dikelilingi dengan alam semula jadi dan sering melihat alam, hatinya berasa ketenangan dan damai.
“Sering terguris kalau berlaku kemusnahan hutan dan sungai, sedih melihat hutan dicerobohi tanpa sebab, sungai tercemar dengan air lumpur yang datang dari kawasan bukit yang ditarah atau berlaku hakisan tanah,”katanya.
Beliau berharap sayangi khazanah alam semula jadi agar menjadi harta yang boleh dihayati oleh generasi akan datang.