WARTAWAN BBC HILANG
WARTAWAN BBC HILANG
YANGON: Seorang wartawan tempatan berkhidmat dengan BBC Myanmar dilaporkan hilang hari ini, ketika orang awam berpusu-pusu meninggalkan bandar terbesar negara itu berikutan tindakan keras junta tentera.
Konflik di Myanmar berterusan sejak tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, pada 1 Februari lalu, mencetuskan pemberontakan besar-besaran yang cuba dipatahkan pasukan keselamatan menerusi kempen keganasan dan ketakutan.
Junta juga bertindak ke atas agensi media negara itu, membatalkan lesen lima perkhidmatan penyiaran bebas tempatan, menyerbu ruang berita dan menahan wartawan yang sedang membuat liputan.
Hari ini, akaun Twitter rasmi BBC mengeluarkan kenyataan mengenai wartawannya yang hilang, Aung Thura.
“Kami sangat prihatin terhadap wartawan tempatan Berita BBC, Aung Thura, yang dibawa lelaki tidak dikenali,” katanya.
Penyiar berita Britain itu berkata kehilangannya berlaku sekitar tengah hari tadi dan Pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengesannya.
GAMBAR HIASAN
“Kami meminta pihak berkuasa untuk membantu mengesannya dan mengesahkan bahawa dia selamat,” tambah kenyataan itu.
Media tempatan, Mizzima, juga memaklumkan salah seorang wartawannya, Than Htike Aung, ditahan di ibu kota Naypyidaw hari ini, menurut laman Facebook rasminya.
Kedua-dua wartawan itu dilihat bersama ketika mereka ditahan.
Sejak rampasan kuasa, lebih 30 wartawan ditahan, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).
Antara yang ditahan adalah Thein Zaw, jurufoto dari Associated Press (AP), yang didakwa kerana membangkitkan ketakutan, menyebarkan berita palsu atau mencemaskan pegawai kerajaan secara langsung atau tidak langsung.
Hari ini, sekurang-kurangnya dua lagi penunjuk perasaan terbunuh di sebuah bandar perdagangan kecil di timur laut Myanmar, kata seorang pekerja tempat pengebumian ketika dihubungi melalui telefon.
Beliau memberitahu mungkin lebih ramai meninggal dunia, namun mereka belum mengambil mayat berkenaan kerana masih berlaku tembakan.
Keganasan baru itu menjadikan angka kematian di Myanmar sejak rampasan kuasa meningkat kepada 230 orang, menurut kumpulan pemantau berkenaan.
Kebanyakan kawasan di Yangon mengalami kekacauan, dengan pasukan keselamatan melakukan rondaan dan melepaskan tembakan secara rambang di kawasan perumahan seperti Tamwe dan Thaketa, lokasi utama tunjuk perasaan hari ini, lapor AFP.
Satu video di Facebook dirakam penduduk Tamwe menunjukkan puluhan tentera dan polis melepaskan tembakan berulang kali dan perlahan-lahan menyusuri jalan ketika mereka mengherdik orang ramai supaya beredar.
“Kami akan mengubah keseluruhan keturunan kamu menjadi timbunan abu. Adakah kamu ingin melihat keseluruhan keturunan kamu berubah menjadi timbunan abu?,” ancam mereka.
Beberapa penduduk yang ketakutan memberitahu AFP mereka sudah meninggalkan Yangon atau merancang untuk pergi ke kawasan luar bandar.