KGMMB TERBIT SUMPAH GURU
KGMMB TERBIT SUMPAH GURU
ALOR SETAR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melancarkan Sumpah Guru, karya antologi KGMMB Edisi 1 Tahun 2020 yang menghimpunkan 20 tulisan ahlinya yang berkaitan pengalaman yang dilalui sepanjang perkhidmatan sebagai guru.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, semua 20 buah karya dipilih dan disunting serta diterbitkan sebagai bahan bacaan ringan yang menarik dengan pelbagai pengalaman yang diharungi oleh pendidik yang digarap daripada pelbagai sudut pandang penulis.
“Penerbitan sulung ini memaparkan tugas guru yang dilihat mudah tetapi sebaliknya mempunyai latar belakang yang berbeza berdasarkan kedudukan geografi seorang guru itu berkhidmat.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, hanya guru berhati luhur dan tulus serta sentiasa bersiap sedia serta cekal menghadapi anak didik masing-masing tanpa membezakan latar belakang sosio-ekonomi dan budaya,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, paling menarik terdapat tujuh penulis wanita turut menyumbang di penerbitan pertama ini, terdapat beberapa judul Kemenangan itu milik kita ditulis oleh Azizah Jupri, Kau yang teristimewa (Nik Zubaidah Zainun), Ayish (Noor Hasriza Abu Bakar) , Akulah guru itu (Nur Khamelia Esa), Tanah rancangan, LKTP, Felda?? (Bahriah Ramli).
Turut menyumbang dalam Sumpah Guru itu, berjudul Singgah menyulam bakti ditulis oleh Siti Aishah Aziz dan Ikan sepat ulam pegaga ditulis oleh Wan Nor Sharmilawati Wan Osman.
“Selain itu, Sumpah Guru sebagai medan mencungkil bakat penulisan guru yang selama ini mungkin menyimpan atau menyembunyikan bakat masing-masing kerana tiada tempat untuk dikongsikan.
“Insya Allah, KGMMB akan menerbitkan edisi kedua dan diharap guru ahli KGMMB yang mempunyai pengalaman selama berkhidmat boleh menterjemahkan dalam bentuk cerpen dan akan dikumpulkan dalam penerbitan berikutnya,” katanya.
Jasni turut berterima kasih kepada guru yang menyumbang cerita masing-masing dengan gaya penceritaan tersendiri dan boleh dijadikan bahan bacaan guru lain terutama guru muda yang mula melalui profesion keguruan ini.