PAHANG BERI KELONGGARAN AKTIVITI KEAGAMAAN
PAHANG BERI KELONGGARAN AKTIVITI KEAGAMAAN
KUANTAN: Kerajaan Negeri telah melonggarkan beberapa perkara berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh negeri Pahang termasuk kebenaran pengganjuran kuliah dan majlis ilmu.
Kelonggaran ini telah mendapat perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berkuatkuasa hari ini sehingga dimaklumkan kemudian, bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan wabak pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara dan negeri ini.
Katanya, sebelum ini, kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh sahaja dibenarkan tetapi kini dibenar termasuk, Kuliah Dhuha, Kuliah sebelum solat Jumaat, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, Kelas Tafaqquh Fid-din anjuran Yayasan Pahang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang dan bacaan Yaasin dan tahlil.
“Jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu ini juga kini dibenarkan termasuk kehadiran pada majlis akad nikah di masjid berdasarkan ruang yang ditetapkan kerana sebelum ini kehadiran itu terhad kepada hanya 20 orang.
GAMBAR HIASAN
“Mengenai had umur bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat Fardhu pula, kanak-kanak tujuh tahun dan ke atas kini dibenarkan, sebelum ini hanya yang berumur 12 tahun ke atas dibenarkan,” katanya melalui Kenyataan Media yang dikeluarkan.
Katanya, walau begitu, perkara-perkara lain berkaitan SOP sedia ada seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri perlu terus diamalkan.
“Semoga dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberi dan dinyatakan ini, kita semua dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan masjid dan surau kita,” katanya.