GAJAH BETINA MATI DILANGGAR
GAJAH BETINA MATI DILANGGAR
MERSING: Seekor Gajah betina mati dilanggar kenderaan dalam kemalangan di Batu Tujuh Jalan Kota Tinggi- Mersing di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( PERHILITAN) Johor, Salman Saaban, berkata pada jam 12.15 malam tadi pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian dan satu pasukan digerakkan segera ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian, mendapati bangkai seekor gajah betina dewasa ditemui mati di tepi jalan disyaki dilanggar kenderaan, lapor BH Online.
GAMBAR HIASAN
“Menurut saksi, kejadian berlaku lebih kurang jam 11.00 malam, apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kota Tinggi menghala Mersing telah melanggar gajah terbabit.
“Selepas itu beberapa kenderaan lain turut terbabit termasuk sebuah lori treler yang tidak sempat mengelak gajah berkenaan di atas jalan raya. Gajah itu mati di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Salman, pemandu dan penumpang yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan ringan.
Katanya, pihak jabatan telah mengambil data morfologi asas sebelum bangkai gajah ditanam pagi ini.
“Sehingga kini kita masih lagi berada di lokasi kejadian untuk memantau saki baki kumpulan gajah itu yang masih lagi berada di sekitar kawasan kemalangan sehingga bangkai berkenaan ditanam.
“Gajah itu adalah sebahagian daripada Kumpulan Gajah Panti yang dianggarkan berjumlah 30 hingga 40 ekor. Jalan Kota Tinggi-Mersing adalah hotspot laluan lintasan gajah terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14.
“Sebanyak lebih kurang 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar telah dipasang di sepanjang jalan untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan itu terutamanya pada sebelah malam atau awal pagi.
“Keadaan jalan yang gelap dan tidak dipasang lampu jalan juga menyebabkan keadaan agak merbahaya apabila melalui kawasan berkenaan.
“Pihak jabatan sedang berusaha berunding dengan pihak yang berwajib bagi memasang lampu jalan di kawasan berkenaan,” katanya.