DITAHAN SELEPAS PAMER LAMBANG GENG 36
DITAHAN SELEPAS PAMER LAMBANG GENG 36
KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki disyaki terbabit dalam perarakan pengebumian kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mempamerkan lambang Geng 36, semalam.
Rakaman video yang menunjukkan perarakan itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima dua laporan berhubung video berkenaan.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Laporan pertama dibuat pegawai kanan polis yang melihat video berdurasi 36 saat di WhatsApp menunjukkan lambang disyaki kumpulan kongsi gelap diletakkan di hadapan sebuah kenderaan bersama kalungan bunga.
“Laporan kedua juga dibuat pegawai kanan polis berkaitan isu sama menyatakan terdapat video berdurasi 58 saat menunjukkan kenderaan mempunyai lambang kongsi gelap.
“Terdapat juga video berdurasi 14 saat yang tular menunjukkan seorang lelaki membakar mercun di tengah Jalan Tun Sambanthan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan lima lelaki berusia 18 hingga 26 tahun di lima lokasi berasingan antara jam 9 malam hingga jam 2.30 pagi tadi.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas empat kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Toyota Camry, Honda Civic dan motosikal Yamaha LC135, satu kalungan bunga serta sejambak bunga digubah berbentuk lambang 36.
Katanya, semakan juga mendapati seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala empat lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Hasil siasatan mendapati perarakan pengebumian itu membabitkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya pada jam 7 pagi, 14 Mac lalu, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Suspek dan si mati adalah rakan sejak kecil dan si mati pernah memberi pesanan supaya membakar mercun jika dia meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti melanggar sistem perundangan negara dan menyertai sebarang pertubuhan tidak diiktiraf.