SELAMATKAN ADIK DALAM KEBAKARAN
Berita Kemalangan/Kebakaran
SELAMATKAN ADIK DALAM KEBAKARAN
KUANTAN: Kerana kasihkan adiknya yang terperangkap dalam kebakaran kediaman mereka, seorang remaja lembam sanggup meredah api bagi menyelamatkan adiknya itu.
Tindakan Nuraina Erieka Abdullah, 13 tahun yang dilahirkan lembam sangat membanggakan ahli keluarganya.
Bapanya, Wan Ahmad Faiz Wan Shamsudin, 38, berkata walaupun Nuraina Erieka tidak sempurna seperti kanak-kanak lain, namun dia boleh diharap untuk menjaga adiknya ketika dia dan isteri keluar bekerja.
Menurutnya, dalam kejadian kebakaran rumah sewanya di Flat Taman Anggerik Desa Jalan Beserah, 9.30 malam Rabu lalu, Nuraina Erieka berjaya membawa keluar adiknya berusia setahun tiga bulan yang terperangkap dalam bilik.
“Ketika kebakaran, saya dan isteri Nur Zalina Mohd Fauzi, 38, ke rumah ibunya yang terletak kira-kira 500 meter daripada rumah dan ketika itu, anak bongsu tidur dalam bilik.
“Saya difahamkan Nuraina Erieka yang turun menyelamatkan diri, sebelum naik semula ke rumah kami di tingkat tiga untuk menyelamatkan adik bongsunya yang berada dalam bilik tidur.
“Nuraina Erieka bertindak berani meredah asap tebal dan bahang api bagi menyelamatkan adiknya… keberaniannya yang ditunjukkan membanggakan kami sekeluarga,” katanya ditemui BH di sini, semalam.
Wan Ahmad Faiz berkata, sekiranya Nuraina Erieka tidak segera menyelamatkan adiknya kemungkinan kejadian buruk berlaku disebabkan asap tebal memenuhi dalam rumah ketika itu.
Sementara itu, Nur Zalina terharu setiap kali teringatkan kesungguhan anak sulungnya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, di sini meredah asap tebal semata-mata untuk menyelamatkan adiknya.
“Kebakaran berpunca daripada kebocoran paip dapur gas, api cepat merebak menyambar dinding dan siling. Kejadian berkenaan menyebabkan saya sekeluarga terpaksa menumpang inap desa seorang individu yang prihatin.
“Dengan pendapatan tidak seberapa sebagai peniaga jagung, saya buntu memikirkan sampai bila kami sekeluarga terpaksa menumpang,” katanya yang lebih tiga tahun menyewa di rumah berkenaan.