POLIS BURU AHLI GENG 21
Berita Jenayah
POLIS BURU AHLI GENG 21
JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang mengesan seorang ahli Geng 21 berhubung kes samun, cuba bunuh dan melepaskan tembakan dalam kejadian di hadapan Pangsapuri Permai Plentong, 8 Mac lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek, B Sarjit Singh, 23, beralamat di Kampung Sungai Plentong dicari kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi (penalti lebih berat) 1971.
Katanya, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, empat mangsa berusia 19 hingga 28 tahun cuba dirompak dan ditembak oleh tiga penjenayah dipercayai anggota Geng 21 yang bersenjatakan pistol.
“Modus operandi digunakan kumpulan ini, melanggar belakang kenderaan dinaiki mangsa sebelum turun dan melepaskan lima das tembakan, yang mana satu daripadanya menembusi paha kanan salah seorang mangsa.
“Namun dalam kejadian itu suspek gagal memperoleh sebarang harta milik mangsa.
“Susulan itu, pasukan siasatan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, dibantu JSJ Bukit Aman bagi mengesan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, 10 September lalu, tujuh lelaki tempatan berusia 23 hingga 44 tahun yang juga ahli kumpulan Geng 21 ditangkap di beberapa lokasi sekitar wilayah Iskandar Puteri.
Tiga daripada mereka katanya, sudah didakwa di mahkamah yang mana dua daripada suspek dituduh mengikut Seksyen 3A Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan bawah POCA mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan culik, dadah, perjudian dan kegiatan jenayah lain.
Katanya, Geng 21 adalah lapan geng kongsi gelap yang aktif di Johor yang mana, lima daripadanya adalah geng Cina dan tiga geng India.